Monday, February 28, 2011

: . .HiKMaH. . :

: .ILMU SILAT yang HEBAT. :


 Seorang remaja bertemu dengan seorang guru silat yang warak. Dia berkata,
"Tuan guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan."
"Boleh, tapi syaratnya kamu mesti taat perintahku."
"Insya-Allah saya akan taat. Bila saya boleh mula belajar?"
"Sekarang juga. Kamu pergi ke hadapan mihrab masjid itu. Di sana ada ribuan kitab-kitab lama."


"Tetapi saya berhajat belajar silat, bukan ilmu agama," bantahnya.
"Bukankah telah aku katakan tadi, mesti taat, baru boleh belajar silat." Tegas Tok Guru.


"Iya, iya."


Maka, tinggallah remaja itu berbulan-bulan di situ. Kerjanya tidak lain hanya menyemak lembaran kitab itu sehelai demi sehelai. Habis sebuah, dia beralih pula kepada kitab yang lain. Akhirnya, ribuan kitab telah habis disemaknya dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.


   Selepas enam bulan, dia berasa sungguh bosan. Dia masih belum diajar walau sedikit pun ilmu silat, sedangkan kawan-kawannya yabg belajar dengan guru-guru lain kini telah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.


   "Tok Guru, saya ingin berhenti. Tiada ilmu silat apa pun yang saya pelajari di sini. Saya ingin pulang."


   "Tetapi Tok sudah pun mengajar kamu ilmu silat."


   "Mengajar ilmu silat? Silat apa? Jangankan menumbuk dan menendang, melangkah pun saya tidak diajar!"


   "Pulanglah. Kamu akan faham apa yang Tok maksudkan nanti."


Apabila pulang ke kampung, dia berasa rendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka semua mahir bersilat.

Satu petang, sedang dia melihat kawan-kawannya bersilat di padang, tiba-tiba seorang daripada kawannya terjatuh dan kakinya tergeliat.


   "Aduh, aduh! Kaki aku!" jeritnya kesakitan yang amat sangat.


Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, tekanan ibu jarinya begitu kuat sehingga kaki kawannya melecet teruk dan kaki yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.


   "Aduh! Apa yang kau buat pada kakiku ini? Sakit, sakit."


Dia terkejut. Barulah dia sedar bahawa ibu jarinya punya kuasa yang kuat. Kekuatannya menyamai penyepit besi. Rupa-rupanya itulah kekuatan ilmu silat yang Tok Gurunya pindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh hari!

Pengajaran :  Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah, umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras.


   Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah S.W.T!

~WALLAHU A'LA WA A'LAM~

- Majalah Solusi-








2 comments:

MMPS MusLimaT said...

Subhanallah wabihamdih..

Hitoeni Yuukan said...

Sungguh mulianya hikmah drpd Allah
Masya'Allah.. tabarakallah nice post :D