Sunday, April 10, 2011

: . .KISAH MIMPI KEKASIH ALLAH. . :

:..MIMPI yang BENAR..:

Samurah Bin Jundub berkata:
"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada para sahabat." "Ada sesiapa dalam kalangan saudara bermimpi?" Jadi, sesiapa yang hendak menceritakan mimpinya, mereka akan menceritakan kepada baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pada suatu hari, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata kepada kami,
"Semalam dua orang datang kepada saya dan berkata, "Marilah". Saya pun pergi bersama mereka.
Kami berjumpa seorang lelaki sedang berbaring. Tiba-tiba datang orang lain berdiri sambil memegang seketul batu yang besar. Dia menghempaskan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring tersebut sehingga kepalanya pecah dan hancur.
    Batu itu bergolek dan pembawa batu tadi mengejar dan mengambilnya semula. Apabila kepala si lelaki yang pecah itu sudah pulih seperti sediakala, dia mengulangi semula perbuatannya tadi! Saya bertanya kepada orang yang mengajak saya itu, "Maha Suci Allah! Siapakah mereka ini? Mereka berkata, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami berjumpa lelaki yang sedang berbaring terlentang, manakala seorang lelaki lagi berdiri sambil memegang cangkuk besi. Tiba-tiba dia datang ke arah sisi sebelah muka lelaki yang berbaring itu dan merobek-robek pipi, hidung, dan matanya sehingga tembus ke belakang. Kemudian dia beralih ke sebelah sisi yang lain dan melakukan perkara yang sama. Apabila dia selesai melakukannya, sisi yang pertama sembuh dan kembali seperti sediakala. Lalu dia kembali semula ke situ dan mengulanginya lagi.
    Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata lagi,  "Maha Suci Allah! Siapakah mereka ini? Mereka berkata, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan lagi.

Kemudian kami terjumpa benda seperti ketuhar.
Kata Samurah, "Saya rasa  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata:
"Di dalam ketuhar itu ada bunyi bising dan suara orang." 
 Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata lagi,
 "Kami pun lihat ke dalamnya. Rupa-rupanya di dalam ketuhar itu ada lelaki -lelaki dan perempuan-perempuan yang telanjang. Tiba-tiba api marak datang kepada mereka dari arah bawah dan mereka meraung kesakitan.
    Saya bertanya lagi,"Siapakah mereka ini? Mereka berkata, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami menjumpai sungai.
Kata Samurah, "Saya rasa  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata:
"Air sungai itu merah seperti darah.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata lagi,
"Tiba-tiba di dalam sungai ada lelaki sedang berenang, manakala di tebing sungai ada lelaki yang sudah mengumpulkan banyak batu. Kemudian lelaki yang berenang itu datang kepada lelaki yang mengumpulkan batu dan membuka mulutnya. Lalu dia pun melontarkan batu ke dalam mulut lelaki itu.
   Kemudian dia pergi berenang lagi, dan datang semula kepada lelaki yang berada di tebing sungai itu. Setiap kali dia datang, dia membuka mulut dan lelaki itu melontarkan batu ke dalam mulutnya. Saya bertanya kepada orang yang mengajak saya sebentar tadi, "Siapakah mereka ini? Mereka menjawab, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami berjumpa dengan lelaki yang sangat hodoh rupa parasnya. Dia menyalakan api dan berlari-lari mengelilingi api tersebut. Saya bertanya kepada dua orang yang mengajak saya itu,"Siapakah orang ini?"
Mereka menjawab, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami sampai di taman yang subur menghijau.dan berbunga pelbagai warna. Di tengah-tengah taman itu ada lelaki tinggi, saya hampir-hampir tidak dapat melihat kepalanya kerana terlalu tinggi menjulang ke langit. Di sekeliling lelaki itu ada kanak-kanak, saya tidak pernah melihat kanak-kanak sebegitu ramai.
    Saya bertanya,"Siapa orang ini? Siapa pula kanak-kanak yang sebegitu ramai ini?" Mereka berdua menjawab kepada saya, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami sampai pada pokok besar, tidak pernah saya lihat pokok sebesar dan secantik itu! Mereka berdua berkata kepada saya, "Panjatlah"
   Kami memanjat sehingga sampai di kota yang dibina daripada batu-bata emas dan perak. Kami pergi ke pintu pagar dan mengetuknya. Lalu pintu dibuka dan kami memasukinya. Kami disambut oleh orang-orang yang sebelah badan mereka elok rupanya seperti orang yang paling elok pernah saudara lihat, manakala sebelah lagi badan mereka begitu hodoh rupanya, seperti orang yang paling hodoh saudara pernah lihat!

    Dua orang bersama saya itu berkata kepada mereka, "Terjunlah ke dalam sungai itu"

Sungai itu terbentang di tengah kota dan airnya putih seperti susu. Mereka mandi di dalamnya dan apabila mereka kembali kepada kami, rupa buruk mereka sudah hilang dan menjadi sangat elok.
    Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berkata: "Mereka berdua memberitahu saya, "Ini Syurga Adnin dan inilah rumah tuan." Saya pun memandang ke atas dan nampak istana seperti awan putih.

    Mereka berkata lagi,"Inilah rumah tuan"

Saya berkata kepada mereka,"Semoga Allah memberi kebaikan kepada tuan berdua, biarlah saya masuk ke dalamnya". Mereka berkata,"Sekarang tidak boleh, tuan akan masuk suatu masa nanti"
   Saya bertanya kepada mereka,"Sepanjang malam ini saya lihat banyak perkara aneh, apakah maksud apa yang saya lihat itu?" Kata mereka, "Kami akan memberitahu tuan"

    "Lelaki pertama yang menghempaskan batu di kepala seorang lelaki itu ialah orang yang belajar al-Quran, tetapi dia tidak membaca dan mengamalkan ilmunya, serta tidur tanpa mengerjakan solat fardhu."

   "Lelaki yang merobek-robek pipi, hidung, dan mata sehingga tembus ke belakang itu adalah orang yang keluar dari rumah dan menyebarkan cerita bohong hingga tersebar ke pelusuk dunia."

   "Lelaki dan perempuan yang telanjang di dalam tempat seperti ketuhar itu adalah penzina lelaki dan penzina perempuan."

   "Lelaki yang sedang berenang di dalam sungai dan disuapkan batu itu adalah pemakan riba."

   "Lelaki berwajah hodoh yang menyalakan api dan berlari mengelilinginya pula adalah malaikat Malik penjaga Neraka Jahannam."

   "Lelaki yang tinggi di taman itu adalah Nabi Ibrahim, manakala kanak-kanak yang berada si sekelilingnya adalah anak-anak yang meninggal semasa kecil dalam beragama fitrah (Islam)."
   Beberapa orang Islam bertanya,"Wahai utusan Allah, adakah anak-anak orang bukan Islam turut termasuk?" Jawab baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, "Anak-anak orang bukan Islam pun termasuk juga."

   "Mereka yang berupa buruk dan elok sebelah itu adalah orang yang mencampur adukkan dalam melakukan amalan baik dan buruk, tetapi akhirnya Allah mengampunkan dosa mereka."


- Direk0dkan oleh Bukhari -

~ dua orang lelaki : Malaikat Jibril dan Mikail


<<WALLAHU WA SUBHANAHU WA TAALA A'LAM>>


Sunday, March 20, 2011

: . .Buat Renungan. . :

BUKANLAH SIA-SIA

 
Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah supaya
kita dapat menjadi penilai yang baik...

Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah untuk menunjukkan
bahawa kita hanyalah makhluk lemah yang sentiasa
 mengharapkan pertolongan ALLAH S.W.T
Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah kerana mengingatkan kita bahawa
dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita
pada masa hadapan...


Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah supaya kita mengutip pengalaman
yang tidak semua orang berpeluang mengalaminya...


Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah supaya dapat melahirkan
MANUSIA yang HEBAT JIWANYA...


Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah supaya faham bahawa
CINTA yang TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH...


Memang ALLAH sengaja menemukan kita 
dengan orang yang salah supaya kita LEBIH
MENGENALI KEHIDUPAN yang TIDAK SELAMANYA KEKAL...


WAHAI SAHABAT yang kecewa, menderita serta sengsara kerana cinta,
fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya...
Hari esok kita juga belum pasti menjadi milik kita atau sebaliknya...
Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhan-NYA,
meninggalkan larangan-NYA...


PERCAYALAH...
Sesungguhnya DIA malu untuk menolak permintaan hamba-NYA yang menadah tangan
dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA...


:..ALLAH HAFIZ..:

Friday, March 4, 2011

: . .MAULID KEKASIH MULIA. . :

wulidAl huda
(lahirlah cahaya)


Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ( نبي محمد صلى الله عليه وسلم) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.


Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:
Surah Al-Anbiya, ayat 107

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."


 Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan Rasul dan Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad S.A.W merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa a.s.



Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramaا sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas.

Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:

  •   Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
  •  Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
  •    Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam



Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah tidak 


merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu lain yang hamil.
Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.
      Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.
     Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.
      Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah. Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.
      Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata ``Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebasan manusia. Namakan dia Ahmad.''
Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam.

Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa a.s.
       Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.





Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.

Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.
      Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa.
Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan ``Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''.
Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah.

 Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.

Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, ``Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, ``telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikan ku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''

Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.

Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.
Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah.

Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.

Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.
Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak.

Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.
Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.

Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail. Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji.
      Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula ke tempatnya.

Hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : “Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?”
Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah Khatamun Nubuwwah,( penutup segala nabi ).

Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah S.W.T, sekali gus sebagai bukti kerasulannya selain bukti -bukti tersebut juga telah dijelaskan di dalam kitab-kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah utusan yang terakhir.



Perjuangan dakwah Rasulullah yang boleh diringkaskan sebagai berikut:
  • Pertama: Marhalah Tasqif - tahap pembinaan dan pengkaderan untuk melahirkan individu-individu yang menyakini pemikiran (fikrah) dan metod (thariqah) parti politik guna membentuk kerangka gerakan.
  • Kedua: Marhalah Tafa’ul ma’al Ummah - tahap berinteraksi dengan umat agar umat turut sama memikul kewajiban dakwah Islam, sehingga umat akan menjadikan Islam sebagai masalah utama dalam hidupnya serta berusaha untuk menerapkannya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.
  • Ketiga: Marhalah Istilamil Hukmi - tahap pengambilalihan kekuasaan, dan penerapan Islam secara utuh serta menyeluruh, lalu mengembangkannya sebagai risalah Islam ke seluruh penjuru dunia.


    • Thalabun Nusrah

    Thalabun Nusrah adalah detik bersejarah yang dapat dinukil didalam kitab sirah dan merupakan satu aktiviti penting dalam marhalah kedua perjuangan Rasulullah Lestari atau tidaknya dakwah ditentukan olehnya kerana keberlangsungan dakwah memerlukan dua aspek penting:-
    • Pertama, untuk mendapatkan perlindungan (himayah) sehingga tetap dapat melakukan aktiviti dakwah dalam keadaan aman dan terlindung.
    • Kedua, untuk mencapai tampuk pemerintahan dalam rangka menegakkan Daulah Islamiyah (Negara Islam) dan menerapkan hukum-hukum berdasarkan apa yang telah diturunkan Allah SWT dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.


      • Cabaran-cabaran

      Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara mereka ialah Khadijah, Ali, Zayd dan Bilal. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.
      Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Makkah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Afan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.
      Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Mekah, sebahagian orang Islam disiksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta Negus Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke negaranya. Negus mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Makkah.



      • Hijrah

      Di Makkah terdapat Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. beberapa abad lalu sebagai pusat penyatuan umat untuk beribadat kepada Allah. Sebelumnya ia dijadikan oleh masyarakat jahiliyah sebagai tempat sembahyang selain dari Allah. Mereka datang dari berbagai daerah Arab, mewakili berbagai suku ternama. Ziarah ke Kaabah dijadikan mereka sebagai sebuah pesta tahunan. Orang ramai bertemu dan berhibur dengan kegiatan-kegiatan tradisi mereka dalam kunjungan ini.

      Baginda mengambil peluang ini untuk menyebarkan Islam. Antara mereka yang tertarik dengan seruan baginda ialah sekumpulan orang dari Yathrib. Mereka menemui Rasulullah dan beberapa orang Islam dari Mekah di desa bernama Aqabah secara sembunyi-sembunyi. Setelah menganut Islam, mereka bersumpah untuk melindungi Islam, Rasulullah dan orang-orang Islam Mekah.
      Tahun berikutnya, sekumpulan masyarakat Islam dari Yathrib datang lagi ke Makkah. Mereka menemui Rasulullah di tempat yang mereka bertemu sebelumnya. Kali ini, Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik baginda yang belum menganut Islam hadir dalam pertemuan itu.
            Mereka mengundang baginda dan orang-orang Islam Mekah untuk berhijrah ke Yathrib. Mereka berjanji akan melayani mereka sebagai saudara seagama. Dialog yang memakan masa agak lama diadakan antara mayarakat Islam Yathrib dengan pakcik Rasulullah untuk memastikan mereka sesungguhnya berhasrat mengalu-alukan masyarakat Islam Mekah di bandar mereka. Rasulullah akhirnya bersetuju untuk berhijrah beramai-ramai ke bandar baru itu.
      Mengetahui ramai masyarakat Islam merancang meninggalkan Makkah, masyarakat jahiliyah Mekah cuba menghalang mereka.
            Namun kumpulan pertama telahpun berjaya berhijrah ke Yathrib. Masyarakat jahiliyah Mekah bimbang hijrah ke Yathrib akan memberi peluang kepada orang Islam untuk mengembangkan agama mereka ke daerah-daerah yang lain.

      Hampir dua bulan seluruh masyarakat Islam dari Makkah kecuali Rasulullah, Abu Bakar, Ali dan beberapa orang yang daif, telah berhijrah. Masyarakat Mekah kemudian memutuskan untuk membunuh baginda. Mereka merancang namun tidak berjaya. Dengan berbagai taktik dan rancangan yang teratur, Rasulullah akhirnya sampai dengan selamat ke Yathrib, yang kemudian dikenali sebagai, 'Bandar Rasulullah'.



      •   Madinah

      Di Madinah, kerajaan Islam diwujudkan di bawah pimpinan Rasulullah Umat Islam bebas mengerjakan solat di Madinah. Musyrikin Makkah mengetahui akan perkara ini kemudiannya melancarkan beberapa serangan ke atas Madinah tetapi kesemuanya ditangkis dengan mudah oleh umat Islam. Satu perjanjian kemudiannya dibuat dengan memihak kepada pihak Quraish Makkah. Walau bagaimanapun perjanjian itu dicabuli oleh mereka dengan menyerang sekutu umat Islam. Orang Muslim pada ketika ini menjadi semakin kuat telah membuat keputusan untuk menyerang musyrikin Makkah memandangkan perjanjian telah dicabuli.




      • Pembukaan Kota Makkah

      Rencana utama: Pembukaan Kota Mekah
      Pada tahun kelapan selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, Nabi Muhammad berlepas ke Makkah. Tentera Islam yang seramai 10,000 orang tiba di Makkah dengan penuh bersemangat. Takut akan nyawa mereka terkorban, penduduk Makkah bersetuju untuk menyerahkan kota Makkah tanpa sebarang syarat. Nabi Muhammad kemudian mengarahkan supaya kesemua berhala dan patung-patung di sekeliling Kaabah dimusnahkan.





       Perbuatan-perbuatan yang dilakukan Rasulullah dibagi menjadi dua macam. Ada yang termasuk perbuatan-perbuatan jibiliyah, iaitu perbuatan yang dilakukan manusia secara fitri, dan ada pula perbuatan-perbuatan selain jibiliyah. 
           Perbuatan-perbuatan jibiliyah, seperti berdiri, duduk, makan, minum dan lain sebagainya, tidak ada perselisihan bahawa status perbuatan tersebut adalah mubah (harus), baik bagi Rasulullah maupun bagi umatnya. Oleh kerana itu, perbuatan tersebut tidak termasuk dalam kategori mandub (sunat).

           Sedangkan perbuatan-perbuatan yang bukan jibiliyah, boleh jadi termasuk dalam hal-hal yang ditetapkan khusus bagi Rasulullah, dimana tidak seorang pun diperkenankan mengikutinya (haram); atau boleh jadi tidak termasuk dalam perbuatan yang diperuntukkan khusus bagi beliau.
      Apabila perbuatan itu telah ditetapkan khusus bagi Rasulullah, seperti dibolehkannya beliau melanjutkan puasa pada malam hari tanpa berbuka, atau dibolehkannya menikah dengan lebih dari empat wanita, dan lain sebagainya dari kekhususan beliau; maka dalam hal ini kita tidak diperkenankan mengikutinya. 
          Sebab, perbuatan-perbuatan tersebut telah terbukti diperuntukkan khusus bagi beliau berdasarkan Ijmak Sahabat. Oleh kerana itu tidak dibolehkan meneladani beliau dalam perbuatan-perbuatan semacam ini.
      Akan halnya dengan perbuatan beliau yang kita kenal sebagai penjelas bagi kita, tidak ada perselisihan bahawa hal itu merupakan dalil. 
      Dalam hal ini penjelasan tersebut boleh berupa perkataan, seperti sabda beliau:

      صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَليِّ
        “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat”

      خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ
      "Laksanakan manasik hajimu berdasarkan manasikku (apa yang telah aku kerjakan)"

      Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan beliau merupakan penjelas, agar kita mengikutinya. Penjelasan beliau bisa juga berupa qaraain al ahwal, yakni qarinah/indikasi yang menerangkan bentuk perbuatan, seperti memotong pergelangan pencuri sebagai penjelas firman Allah SWT:

      فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا
      "Maka potonglah tangan keduanya." (Surah Al-Maidah : 38)

      Status penjelas yang terdapat dalam perbuatan Rasulullah, baik berupa ucapan maupun indikasi yang menerangkan bentuk perbuatan, dapat mengikuti hukum apa yang telah dijelaskan, apakah itu wajib, haram, mandub(sunat) atau mubah(harus) sesuai dengan arah penunjukan dalil.
           Sedangkan perbuatan-perbuatan beliau yang tidak terdapat di dalamnya indikasi yang menunjukkan bahawa hal itu merupakan penjelas, bukan penolakan dan bukan pula ketetapan. 

      Maka dalam hal ini perlu diperhatikan apakah di dalamnya terdapat maksud untuk bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) atau tidak. Apabila di dalamnya terdapat keinginan untuk bertaqarrub kepada Allah maka perbuatan itu termasuk mandub(sunat), di mana seseorang akan mendapatkan pahala atas perbuatannya itu dan tidak mendapatkan balasan jika meninggalkannya. Misalnya Solat Dhuha. Sedangkan jika tidak terdapat di dalamnya keinginan untuk bertaqarrub, maka perbuatan tersebut termasuk mubah(harus).



      Pesanan terakhir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam 

      (Isi khutbah terakhir baginda Sallallahu Alaihi Wasallam)

      Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:
      "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
      "Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
      Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
       Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
      "Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
       Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
      "Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
      "Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.
      Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
      "Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

      "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
       Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

      "Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.
      Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

      Rasulullah

      Rasulullah dalam mengenangmu
      Kami susuli lembaran sirahmu
      Pahit getir pengorbananmu
      Membawa cahaya kebenaran

      Engkau taburkan pengorbananmu
      Untuk umatmu yang tercinta
      Biar terpaksa tempuh derita
      Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

      Tak terjangkau tinggi pekertimu
      Tidak tergambar indahnya akhlakmu
      Tidak terbalas segala jasamu
      Sesungguhnya engkau rasul mulia
      Tabahnya hatimu menempuh dugaan
      Mengajar erti kesabaran
      Menjulang panji kemenangan
      Terukir namamu di dalam Al-Quran

      Rasulullah kami umatmu
      Walau tak pernah melihat wajahmu
      Kami cuba mengingatimu
      Dan kami cuba mengamal sunnahmu

      Kami sambung perjuanganmu
      Walau kita tak pernah bersua
      Tapi kami tak pernah kecewa
      Allah dan rasul sebagai pembela



      Artist: Hijjaz
      Song Category: Nasyid


      اللهم صلى وسلم وبارك عليه وعلى آله  

      Monday, February 28, 2011

      : . .HiKMaH. . :

      : .ILMU SILAT yang HEBAT. :


       Seorang remaja bertemu dengan seorang guru silat yang warak. Dia berkata,
      "Tuan guru, tolong ajarkan saya ilmu persilatan."
      "Boleh, tapi syaratnya kamu mesti taat perintahku."
      "Insya-Allah saya akan taat. Bila saya boleh mula belajar?"
      "Sekarang juga. Kamu pergi ke hadapan mihrab masjid itu. Di sana ada ribuan kitab-kitab lama."


      "Tetapi saya berhajat belajar silat, bukan ilmu agama," bantahnya.
      "Bukankah telah aku katakan tadi, mesti taat, baru boleh belajar silat." Tegas Tok Guru.


      "Iya, iya."


      Maka, tinggallah remaja itu berbulan-bulan di situ. Kerjanya tidak lain hanya menyemak lembaran kitab itu sehelai demi sehelai. Habis sebuah, dia beralih pula kepada kitab yang lain. Akhirnya, ribuan kitab telah habis disemaknya dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.


         Selepas enam bulan, dia berasa sungguh bosan. Dia masih belum diajar walau sedikit pun ilmu silat, sedangkan kawan-kawannya yabg belajar dengan guru-guru lain kini telah cekap menumbuk dan menendang. Dia masih terkial-kial menyemak helaian kitab-kitab saban hari.


         "Tok Guru, saya ingin berhenti. Tiada ilmu silat apa pun yang saya pelajari di sini. Saya ingin pulang."


         "Tetapi Tok sudah pun mengajar kamu ilmu silat."


         "Mengajar ilmu silat? Silat apa? Jangankan menumbuk dan menendang, melangkah pun saya tidak diajar!"


         "Pulanglah. Kamu akan faham apa yang Tok maksudkan nanti."


      Apabila pulang ke kampung, dia berasa rendah diri berbanding kawan-kawannya. Mereka semua mahir bersilat.

      Satu petang, sedang dia melihat kawan-kawannya bersilat di padang, tiba-tiba seorang daripada kawannya terjatuh dan kakinya tergeliat.


         "Aduh, aduh! Kaki aku!" jeritnya kesakitan yang amat sangat.


      Spontan dia memberanikan diri untuk mengurut kaki kawannya itu. Sebaik sahaja dia mula mengurut, tekanan ibu jarinya begitu kuat sehingga kaki kawannya melecet teruk dan kaki yang tergeliat itu terus bengkok seakan-akan patah.


         "Aduh! Apa yang kau buat pada kakiku ini? Sakit, sakit."


      Dia terkejut. Barulah dia sedar bahawa ibu jarinya punya kuasa yang kuat. Kekuatannya menyamai penyepit besi. Rupa-rupanya itulah kekuatan ilmu silat yang Tok Gurunya pindahkan kepada ibu jarinya sewaktu dia disuruh menyemak helaian demi helaian kitab tempoh hari!

      Pengajaran :  Ilmu yang tinggi diajar secara berhikmah, umpama akar pokok yang bergerak perlahan tetapi dapat menembusi batu dan tanah yang keras.


         Guru yang ikhlas mengajar dengan rendah diri dan ikhlas kerana Allah S.W.T!

      ~WALLAHU A'LA WA A'LAM~

      - Majalah Solusi-