Sunday, April 10, 2011

: . .KISAH MIMPI KEKASIH ALLAH. . :

:..MIMPI yang BENAR..:

Samurah Bin Jundub berkata:
"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepada para sahabat." "Ada sesiapa dalam kalangan saudara bermimpi?" Jadi, sesiapa yang hendak menceritakan mimpinya, mereka akan menceritakan kepada baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pada suatu hari, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata kepada kami,
"Semalam dua orang datang kepada saya dan berkata, "Marilah". Saya pun pergi bersama mereka.
Kami berjumpa seorang lelaki sedang berbaring. Tiba-tiba datang orang lain berdiri sambil memegang seketul batu yang besar. Dia menghempaskan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring tersebut sehingga kepalanya pecah dan hancur.
    Batu itu bergolek dan pembawa batu tadi mengejar dan mengambilnya semula. Apabila kepala si lelaki yang pecah itu sudah pulih seperti sediakala, dia mengulangi semula perbuatannya tadi! Saya bertanya kepada orang yang mengajak saya itu, "Maha Suci Allah! Siapakah mereka ini? Mereka berkata, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami berjumpa lelaki yang sedang berbaring terlentang, manakala seorang lelaki lagi berdiri sambil memegang cangkuk besi. Tiba-tiba dia datang ke arah sisi sebelah muka lelaki yang berbaring itu dan merobek-robek pipi, hidung, dan matanya sehingga tembus ke belakang. Kemudian dia beralih ke sebelah sisi yang lain dan melakukan perkara yang sama. Apabila dia selesai melakukannya, sisi yang pertama sembuh dan kembali seperti sediakala. Lalu dia kembali semula ke situ dan mengulanginya lagi.
    Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata lagi,  "Maha Suci Allah! Siapakah mereka ini? Mereka berkata, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan lagi.

Kemudian kami terjumpa benda seperti ketuhar.
Kata Samurah, "Saya rasa  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata:
"Di dalam ketuhar itu ada bunyi bising dan suara orang." 
 Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata lagi,
 "Kami pun lihat ke dalamnya. Rupa-rupanya di dalam ketuhar itu ada lelaki -lelaki dan perempuan-perempuan yang telanjang. Tiba-tiba api marak datang kepada mereka dari arah bawah dan mereka meraung kesakitan.
    Saya bertanya lagi,"Siapakah mereka ini? Mereka berkata, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami menjumpai sungai.
Kata Samurah, "Saya rasa  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata:
"Air sungai itu merah seperti darah.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata lagi,
"Tiba-tiba di dalam sungai ada lelaki sedang berenang, manakala di tebing sungai ada lelaki yang sudah mengumpulkan banyak batu. Kemudian lelaki yang berenang itu datang kepada lelaki yang mengumpulkan batu dan membuka mulutnya. Lalu dia pun melontarkan batu ke dalam mulut lelaki itu.
   Kemudian dia pergi berenang lagi, dan datang semula kepada lelaki yang berada di tebing sungai itu. Setiap kali dia datang, dia membuka mulut dan lelaki itu melontarkan batu ke dalam mulutnya. Saya bertanya kepada orang yang mengajak saya sebentar tadi, "Siapakah mereka ini? Mereka menjawab, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami berjumpa dengan lelaki yang sangat hodoh rupa parasnya. Dia menyalakan api dan berlari-lari mengelilingi api tersebut. Saya bertanya kepada dua orang yang mengajak saya itu,"Siapakah orang ini?"
Mereka menjawab, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami sampai di taman yang subur menghijau.dan berbunga pelbagai warna. Di tengah-tengah taman itu ada lelaki tinggi, saya hampir-hampir tidak dapat melihat kepalanya kerana terlalu tinggi menjulang ke langit. Di sekeliling lelaki itu ada kanak-kanak, saya tidak pernah melihat kanak-kanak sebegitu ramai.
    Saya bertanya,"Siapa orang ini? Siapa pula kanak-kanak yang sebegitu ramai ini?" Mereka berdua menjawab kepada saya, "Teruskan berjalan!"

Kami pun meneruskan perjalanan.

Kemudian kami sampai pada pokok besar, tidak pernah saya lihat pokok sebesar dan secantik itu! Mereka berdua berkata kepada saya, "Panjatlah"
   Kami memanjat sehingga sampai di kota yang dibina daripada batu-bata emas dan perak. Kami pergi ke pintu pagar dan mengetuknya. Lalu pintu dibuka dan kami memasukinya. Kami disambut oleh orang-orang yang sebelah badan mereka elok rupanya seperti orang yang paling elok pernah saudara lihat, manakala sebelah lagi badan mereka begitu hodoh rupanya, seperti orang yang paling hodoh saudara pernah lihat!

    Dua orang bersama saya itu berkata kepada mereka, "Terjunlah ke dalam sungai itu"

Sungai itu terbentang di tengah kota dan airnya putih seperti susu. Mereka mandi di dalamnya dan apabila mereka kembali kepada kami, rupa buruk mereka sudah hilang dan menjadi sangat elok.
    Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berkata: "Mereka berdua memberitahu saya, "Ini Syurga Adnin dan inilah rumah tuan." Saya pun memandang ke atas dan nampak istana seperti awan putih.

    Mereka berkata lagi,"Inilah rumah tuan"

Saya berkata kepada mereka,"Semoga Allah memberi kebaikan kepada tuan berdua, biarlah saya masuk ke dalamnya". Mereka berkata,"Sekarang tidak boleh, tuan akan masuk suatu masa nanti"
   Saya bertanya kepada mereka,"Sepanjang malam ini saya lihat banyak perkara aneh, apakah maksud apa yang saya lihat itu?" Kata mereka, "Kami akan memberitahu tuan"

    "Lelaki pertama yang menghempaskan batu di kepala seorang lelaki itu ialah orang yang belajar al-Quran, tetapi dia tidak membaca dan mengamalkan ilmunya, serta tidur tanpa mengerjakan solat fardhu."

   "Lelaki yang merobek-robek pipi, hidung, dan mata sehingga tembus ke belakang itu adalah orang yang keluar dari rumah dan menyebarkan cerita bohong hingga tersebar ke pelusuk dunia."

   "Lelaki dan perempuan yang telanjang di dalam tempat seperti ketuhar itu adalah penzina lelaki dan penzina perempuan."

   "Lelaki yang sedang berenang di dalam sungai dan disuapkan batu itu adalah pemakan riba."

   "Lelaki berwajah hodoh yang menyalakan api dan berlari mengelilinginya pula adalah malaikat Malik penjaga Neraka Jahannam."

   "Lelaki yang tinggi di taman itu adalah Nabi Ibrahim, manakala kanak-kanak yang berada si sekelilingnya adalah anak-anak yang meninggal semasa kecil dalam beragama fitrah (Islam)."
   Beberapa orang Islam bertanya,"Wahai utusan Allah, adakah anak-anak orang bukan Islam turut termasuk?" Jawab baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, "Anak-anak orang bukan Islam pun termasuk juga."

   "Mereka yang berupa buruk dan elok sebelah itu adalah orang yang mencampur adukkan dalam melakukan amalan baik dan buruk, tetapi akhirnya Allah mengampunkan dosa mereka."


- Direk0dkan oleh Bukhari -

~ dua orang lelaki : Malaikat Jibril dan Mikail


<<WALLAHU WA SUBHANAHU WA TAALA A'LAM>>